Wednesday, April 16, 2008

Coretan Angkasawan: Tak pernah lupa jasa cikgu

SHEIKH Muszaphar bersama guru ketika mengunjungi MRSM Kuala Krai


Angkasawan negara cari guru pernah mengajar di MRSM Muar untuk ucap terima kasih SAYA menuntut di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muar dari 1985 hingga 1989 dan pelbagai memori manis yang tidak dapat dilupakan sepanjang tempoh 5 tahun belajar di sekolah asrama penuh itu. Segala didikan dan amalan dipelajari di sekolah berkenaan. Di situlah saya mempelajari hidup berkeluarga tidak mengira pangkat mahupun kekayaan. Setiap pelajar dianggap sama rata dan kami sering bantu membantu di antara satu sama lain untuk mengejar impian hidup.

Guru MRSM Muar sentiasa membimbing saya untuk menjadi seorang yang berjaya dan mampu menghadapi segala cabaran hidup. Apabila dikenang kembali, sudah hampir 20 tahun masa berlalu. Sejak kembali menjadi angkasawan negara, saya telah berjanji untuk membalas jasa guru MRSM khususnya MRSM Muar yang tidak pernah serik membimbing saya hingga ke puncak kejayaan.
Saya kembali mencari guru kesayangan yang kini kebanyakannya tidak lagi mengajar di MRSM Muar. Tidak sukar untuk mencari mereka kerana database boleh didapati di induk MARA sendiri. Tidak dapat saya lupakan Cikgu Azmi yang mengajar Kimia yang menggalakkan saya mendalami subjek itu sehingga mendapat tempat kedua dalam pertandingan Saintis Tunas Muda.




PELAJAR Tabika gembira dengan kehadiran Sheikh Muszaphar.


Saya akhirnya memberikan pelukan erat apabila menjejaki beliau di Ibu Pejabat MARA. Juga ustaz Khaidir dan ustaz Muhaidin yang kini berada di MRSM Kuala Krai dan Terengganu yang sentiasa memberi pedoman buat diri ini. Cikgu Zaherah, penolong pengetua ketika itu dan ramai lagi guru di MRSM Muar yang sentiasa membimbing saya tanpa penat lelah, terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan.
Terima kasih MRSM Muar kerana membimbing saya menjadi angkasawan negara. Saya telah berjanji pada diri ini untuk menumpukan penjelajahan kepada pelajar MRSM supaya mereka juga mampu mencapai impian mereka. Saya kini bekerjasama dengan MARA dan kumpulan bekas pelajar MARA iaitu ANSARA untuk menjayakan program “Angkasawan Kembali Ke Gagang” untuk menjelajahi MRSM seluruh negara bermula di utara bersama MRSM Pendang, Kepala Batas dan Taiping pada 19 dan 20 April ini.

Tidak sabar diri ini untuk berkongsi pengalaman dan bermesra bersama mereka. Diharapkan dapat membakar dan mencetus semangat mereka supaya mereka juga mampu mencapai impian mereka. Saya menyeru kepada mereka yang berjaya supaya tidak melupakan jasa guru yang telah membimbing mereka selama ini. Sekadar ucapan terima kasih akan menjadi begitu bermakna buat mereka. Terima kasih kepada guru seluruh Malaysia. Teruskanlah perjuangan dalam membimbing anak Malaysia ke arah negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Syabas buat anda semua.