AKADEMI Fantasia musim keenam (AF6) bakal melabuhkan tirai dua minggu lagi. Relevankah lagi program realiti itu kerana hakikatnya masyarakat dilihat sudah jelak dan bijak menilai perjalanan program itu. AF6 menjadi medan penterjemahan segala-gala apabila kerap mengundang kritikan klise, cemuhan dan unsur provokasi daripada pelbagai pihak.
Mungkinkah pihak Astro perlu tampil dengan silibus program yang berlainan pada masa akan datang? Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan berkata, pihaknya sentiasa ingin melakukan pembaharuan dalam setiap inti pati program terbitan Astro contohnya Akademi Fantasia dan sentiasa mengambil perhatian dengan setiap kritikan dan pujian yang diberikan pelbagai pihak termasuk rakan media.
Katanya lagi, prestasi AF6 masih di tahap yang memuaskan daripada sambutan peminat dan rating program itu sendiri. “Hampir setiap tahun apabila berlangsungnya program Akademi Fantasia pasti singgah pelbagai komentar berbentuk pujian dan sebaliknya daripada pelbagai pihak. Setiap komentar yang diberi, kami ambil itu sebagai satu nota untuk melakukan yang lebih baik lagi. “Bagi pihak Astro sendiri, kami sentiasa ingin melakukan kelainan dan pembaharuan dalam setiap program terbitan dan siaran Astro. Kami merasakan bahang Akademi Fantasia masih sama saja seperti tahun terdahulu.
Terlalu awal untuk pihak kami menilai prestasi pelajar AF6, semuanya akan dinilai selepas mereka bergelar artis nanti. Bagaimanapun sambutan yang diterima daripada siaran program realiti itu masih menggalakkan. Sambutan peminat masih di tahap yang baik dan rating program itu juga memuaskan,” katanya. Konsert minggu lalu juga menimbulkan pelbagai manifestasi dan persoalan apabila tiada penyingkiran dilakukan. Hakikatnya pelajar yang mendapat undian tercorot, Nadia yang sepatutnya akur melupakan hasratnya untuk menggapai hasrat menjejaki gelaran juara AF6. Mungkinkah potensi dan bakat yang ada pada gadis genit itu ‘memaksa’ Astro mengumumkan tiada penyingkiran. Di AF6 apa-apa saja yang dikatakan sebagai kononnya ‘kejutan’ sudah cukup sinonim.
Menjawab persoalan itu, Khairul Mizan menjelaskan memang sedari awal sebelum bermulanya konsert minggu lalu, pihak Astro, produksi AF6 dan Ramli MS sendiri sudah dimaklumkan bahawa tiada penyingkiran yang bakal berlaku. Pihaknya menyifatkan konsep tiada penyingkiran itu sebagai satu kejutan dan ia hanya akan berlaku pada konsert Sabtu ini. “Sejak Isnin lalu setelah undian disiarkan di TV, memang semua sudah maklum bahawa Nadia adalah peserta yang mendapat undian tercorot.
Hakikatnya bukan kerana Nadia yang berada di paras merbahaya menyebabkan pihak Astro memutuskan tiada penyingkiran. Hakikatnya sebelum berlangsung konsert minggu lalu lagi, Astro, pihak produksi dan Ramli MS sendiri dimaklumkan bahawa tiada penyingkiran bakal berlaku. Ia dilihat sebagai satu elemen kejutan di AF6.
“Yang pasti konsert Sabtu ini akan berakhir dengan penyingkiran, itu saya dapat yakinkan semua. Cuma saya tak dapat beritahu jumlah finalis yang akan berentap di peringkat akhir nanti, tunggu saja konsert pada minggu ini. Corak persembahan peringkat kemuncak nanti pun saya tidak dapat hebahkan, nanti tak ada kejutan lagilah,” katanya.
Siapakah yang bakal bersaing di peringkat akhir 24 Mei nanti? Siapakah yang akan menjadi kelompok terbaik untuk merebut takhta juara? Mampukah Stacy memberi kejutan untuk dinobatkan sebagai juara AF6 bagi wanita selepas kemenangan Mila tahun lalu. Bagaimanakah pula dengan nasib Nadia, Riz, Nubhan, Toi dan Stanly? Ketahui jawapannya pada konsert Sabtu ini.